BEAUTY SHOP MENCERIAKAN HARI ANDA

Beauty Shop menjadikan hari anda lebih ceria dan penuh makna.

Sunday, 9 December 2018

KPS TAJUK 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

TAJUK 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

1. PENDAHULUAN
Sosiologi telah diperkenalkan oleh Auguste Comte (1798 –1857) dalam bukunya Positive Philosophy (1842). Istilah ini berasal daripada perkataan latin “sosio” bermaksud “berkongsi”. Istilah ini juga merupakan gabungan perkataan Yunani dan Rom yang bermaksud “pengetahuan mengenai masyarakat”. Sosiologi merupakan kajian saintifik tentang masyarakat manusia dan tingkah laku sosial manusia. Pendidikan adalah proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus dan juga sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi lebih mendalam atau pemberian pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan. Tujuan mempelajari sosiologi pendidikan adalah untuk memahami situasi sosial, pengubahan polisi, untuk menilai keberkesanan sesuatu polisi, memberikan kesedaran sosial dan perbezaan budaya serta sebagai panduan reformasi sosial. Pembelajaran pula didefinisikan sebagai suatu perubahan dalaman seseorang dan pembentukan perkaitan-perkaitan baharu. Pembelajaran juga merupakan perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap kepercayaan. Secara umumnya, pembelajaran adalah proses untuk belajar. 

2. ISI PENTING
Terdapat beberapa teori dalam  sosiologi pendidikan, iaitu teori fungsionalisme, teori konflik dan teori interaksionisme. Teori dalam sains amat membantu sebagai panduan menyelesaikan masalah-masalah sosial seperti panduan untuk meningkatkan pengetahuan dan penyuburan diri. Selain itu, teori digunakan sebagai amalan pratikal dan jururunding bagi menangani masalah terutamanya masalah sosial.
Teori fungsionalisme diperkenalkan oleh Talcott Parson, dalam teori beliau menjelaskan bahawa masyarakat dan satu institusi itu perlu saling bergantung antara satu sama lain bagi mencapai keharmonian dalam sebuah masyarakat yang stabil. Emile Durkheim telah mengaitkan teori fungsionalisme ini dengan anggota badan yang mempunyai peranan masing-masing dan setiap anggota itu saling bergantung di antara satu sama lain untuk berfungsi. Emile Durkheim merupakan ahli sosiologi yang pertama mengaitkan teori fungsionalisme dengan pendidikan, iaitu beliau mementingkan tentang bahagian-bahagian masyarakat yang masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk perpaduan dan kepaduan diantara mereka dan ia akan mengerakkan masyarakat tradisi kepada masyarakat moden.
Teori konflik diperkenalkan oleh Karl Marx. Teori ini menjelaskan bahawa ketegangan antara individu itu berlaku disebabkan untuk mencapai kepentingan-kepentingan masing-masing. Menurut Karl Marx, perbezaan kumpulan ‘Berada’ dan ‘Tidak Berada’ dalam masyarakat akan mewujudkan ketegangan akibat perbezaan dalam permintaan hidup seperti perebutan kuasa bagi kumpulan atasan manakala kumpulan bawahan meminta bahagian hak mereka daripada kumpulan atasan. Teori konflik ini dapat dikaitkan dengan pendidikan di sekolah melalui susun lapisan sosioekonomi ibubapa pelajar di sekolah. Hal ini akan mempengaruhi layanan guru dan murid-murid dengan pelajar yang mempunyai sosioekonomi keluarga yang rendah. Pelajar yang dari keluarga sosioekonomi yang rendah akan mendapat layanan yang berlainan daripada pelajar yang mempunyai profil keluarga yang tinggi.
Teori interaksionisme ini diperkenalkan oleh George Herbert Mead (1863-1931), beliau telah mengkritik teori fungsionalisme dan teori konflik. Menurut teori interaksionisme manusia tidak pasif dan menekankan bahawa interaksi sosiallah yang membentuk realiti. Teori ini memberikan fokus kepada melihat cara tingkah laku pelajar yang tidak baik berinteraksi dengan guru. Tingkah laku pelajar tidak baik di sekolah tidak dikaitkan oleh latar belakang kelas sosial dalam masyarakat.

3. RUMUSAN
Rumusan bagi sosiologi pendidikan dalam masyarakat amat penting untuk dipelajari oleh bakal guru bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan membolehkan bakal guru menangani masalah-masalah yang berlaku di sekolah pada masa depan. Melalui pendekatan yang betul, bakal guru dapat menangani pelbagai situasi di sekolah dan juga dapat beradaptasi dengan lingkungan sosial yang lain. Melalui pembelajaran sosiologi pendidikan ini dapat memastikan bakal guru dapat menjalinkan hubungan yang baik dan erat dengan pelajar yang pelbagai kaum.

4. RUJUKAN

No comments:

Post a Comment