BEAUTY SHOP MENCERIAKAN HARI ANDA

Beauty Shop menjadikan hari anda lebih ceria dan penuh makna.

Sunday, 9 December 2018

KPS TAJUK 5: PENGURUSAN MURID

TAJUK 5: PENGURUSAN MURID
1. PENGENALAN
Menurut James Stoner, pengurusan merupakan proses merancang, mengorganisasikan, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber lain organisasi bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti disekelilingnya. Menurut Ahmad Mahdzan (2004), pengurusan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang teratur bagi mencari jawapan kepada beberapa soalan khusus yang dikemukakan tentang sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenalpasti. Selain itu, murid pula ditaktrifkan sebagai individu yang sedang belajar. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di dalam sebuah institusi pendidikan di mana pengurusan murid yang efektif akan memberi impak yang sangat mendalam terhadap hal ehwal murid itu sendiri. Terdapat beberapa proses pengurusan murid yang terdiri daripada beberapa aspek penting iaitu aspek perancangan, pengelolaan, pentadbiran serta pengawalan dan pemulihan. Aspek perancangan merupakan satu proses untuk menentukan objektif dan cara pengoperasian aktiviti-aktiviti pengurusan murid yang bertujuan bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Manakala aspek pengelolaan pula adalah pengumpulan sumber-sumber serta pembentukan prosedur dalam menguruskan murid. Di samping itu aspek pentadbiran pula adalah seperti penyeliaan program murid. Lantaran itu, aspek yang terakhir iaitu pengawalan dan pemulihan melibatkan laporan dan maklum balas di mana ia sangat diperlukan bagi memperbaiki rancangan pengurusan murid yang telah dijalankan.

2. ISI KANDUNGAN
Topik pengurusan murid ini membincangkan cara mengurus rekod murid serta memahami jenis dan faktor kesediaan belajar dan cara memotivasikan murid. Mengendalikan rekod murid adalah satu tanggungjawab dan tugasan yang penting bagi guru untuk menjaga dan memelihara bukti dan maklumat murid ke dalam bentuk rekod. Mengurus rekod murid adalah satu perkara yang perlu dilakukan supaya maklumat berkaitan dengan murid dalam disimpan dan disusun dengan teratur dan selamat daripada perkara-perkara yang boleh memusnahkannya. Guru dan pihak pentadbiran sekolah memainkan peranan penting dalam menyimpan data dan maklumat peribadi pelajar. Data murid amat diperlukan bagi merancang strategi pengajaran dan pembelajaran. Proses pentaksiran akan dilakukan terlebih dahulu sebelum pengumpulan data atau rekod murid. Tujuan membuat proses pentaksiran adalah memastikan maklumat berkenaan perkembangan murid dari segi akademik, sahsiah, emosi dan tingkah laku akan dikumpul menggunakan pelbagai kaedah dan selamat. Dengan adanya hasil pentaksiran yang lengkap dapat memudahkan dan membolehkan guru untuk mengambil tindakan susulan yang berkesan seterusnya membantu guru mengembangkan potensi murid ke tahap optimum dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Selain itu, menyimpan rekod murid ini juga bertujuan untuk dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa dalam memahami tentang kemajuan dan kebolehan anak mereka selain menjadi panduan kepada pelajar itu sendiri untuk mengetahui potensi diri sendiri.
Seterusnya, kesediaan murid belajar amat penting bagi memastikan murid dapat mengikut pembelajaran di dalam bilik darjah serta dapat memahami yang yang diajar oleh guru dengan baik dan jelas. Namun, tahap penguasaan pembelajaran adalah berbeza bagi setiap orang murid.  Bagi menjamin pembelajaran yang berkesan, seseorang murid hendaklah mencapai kesediaan kognitif (mental), kesediaan afektif (sikap dan minat) dan kesediaan psikomotor (koordinasi otot-otot dengan otak). Menguasai aspek kesediaan ini dapat memastikan murid mengikut sesi pembelajaran dan pengajaran dengan berkesan dan efektif di dalam bilik darjah. Murid-murid juga dapat memahami pembelajaran dengan mudah dan cepat memahami perkara yang diajar oleh guru.
Lantaran itu, kaedah memotivasikan murid dapat memastikan keberkesanan sesuatu proses pembelajaran. Kaedah motivasi merupakan elemen yang paling penting dalam proses pengajaran dan pengajaran (P&P) kerana ia boleh menjadikan proses P&P lebih berkesan. Guru perlu bijak untuk memotivasikan murid dengan menggunakan pelbagai kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan pemikiran murid masa kini. Dengan itu, guru perlu mempunyai pelbagai kemahiran yang banyak dalam diri agar dapat menangani pelbagai situasi dan keadaan di sekolah.

3. RUMUSAN
Kesimpulannya, menguasai dan memahami konsep pengurusan murid amat penting kepada bakal guru bagi memastikan bakal guru dapat mengaplikasikan teknik dan pendekatan pengurusan murid dengan baik semasa mengajar di sekolah pada masa depan. Melalui pembelajaran ini, kita dapat memastikan pembelajaran yang efektif dan berkesan di dalam bilik darjah. Kemahiran dalam pengurusan murid ini amat penting bagi menarik minat murid untuk belajar.
4. RUJUKAN


http://pengurusanpembelajaran2018.blogspot.com/2018/11/tajuk-5-pengurusan-murid.html


No comments:

Post a Comment