TAJUK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH
1. PENGENALAN
Menurut James Stoner, pengurusan merupakan proses merancang, mengorganisasikan, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber lain organisasi bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti disekelilingnya. Menurut Ahmad Mahdzan (2004), pengurusan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang teratur bagi mencari jawapan kepada beberapa soalan khusus yang dikemukakan tentang sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenalpasti. Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat, pengurusan bermaksud mengurus sesuatu atau perihal mengurus. Ini membawa pengertian yang lebih luas ke arah mengendalikan sesuatu agar lebih teratur dan tersusun. Dalam konteks pendidikan, pengurusan bilik darjah yang baik boleh menjurus kepada situasi yang lebih baik dan berprosedur sempurna untuk mencapai objektif-objektif aktiviti yang lebih berkesan dan bermakna. Pengurusan bilik darjah ialah suatu aspek yang penting dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Keadaan fizikal bilik darjah seperti susun atur kerusi meja pelajar, jadual waktu mata pelajaran dan tugasan, peraturan kelas, kemudahan asas, pencahayaan dan sebagainya amat penting bagi menggalakkan proses pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah. Sebagai seorang guru perlu memahami dan mengetahui cara menyusun tempat duduk pelajar dan peralatan bilik darjah, mengurus pergerakan pelajar di dalam kelas dan mengawal disiplin pelajar di dalam kelas supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
Susunan fizikal di dalam bilik darjah mempengaruhi keadaan murid semasa sesi pembelajaran dan pengajaran yang efektif dan berkesan. Hal ini dapat boleh dilihat melalui sumbangan dari segi kawalan, perhubungan guru dengan murid dan sesama murid di dalam kelas malah mewujudkan keseronokan bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu visi. Menurut Savage (1999), menyusun atur persekitaran fizikal bukan sahaja akan mempengaruhi tingkah laku murid malah juga boleh mempengaruhi sikap murid dan menyumbang kepada prestasi akademik murid. Pengurusan bilik darjah pada umumnya bertujuan mewujudkan keadaan, suasana, dan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkesan ke atas murid.
Menurut Lemlech (1988), pengurusan bilik darjah diibaratkan sebagai okestra dalam kehidupan di bilik darjah yang memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan, prosedur dan sumber pengajaran. Dengan memberikan menekankan tentang pentingnya penyusunan suasana bilik darjah yang cerah dan teratur bagi meningkatkan keberkesanan, pemantauan perkembangan pelajar. Menurut Levin dan Nolan (2004) pula, mereka memberi tumpuan aspek keberkesanan dalam pengurusan bilik darjah itu sendiri. Mereka berpendapat bahawa kedua-dua aspek arahan dan pengurusan merupakan proses yang mempunyai tujuan di mana tindakan serta sikap guru itu bertindak untuk memudahkan objektif yang ingin dicapai oleh guru itu sendiri dalam pengajaran dan pembelajaran. Memahami ilmu dan kemahiran dan strategi mengurus bilik darjah amat penting bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan dan efektif kepada murid.
2. ISI KANDUNGAN
Dalam topik pengurusan bilik darjah mempunyai beberapa aspek, iaitu iklim dan persekitaran bilik darjah. Perubahan iklim dalam bilik darjah mempengaruhi pembentukan iklim fizikal, sosial, emosi dan penyusunan bilik darjah. Manakala, suasana fizikal bilik darjah merupakan rangka yang menentukan keadaan pembelajaran. Suasana fizikal dalam bilik darjah dapat menggalakkan atau menghalang dan pembelajaran. Seterusnya, persekitaran bilik darjah juga mendorong pengajaran dan pembelajaran murid dalam bilik darjah. Suasana bilik darjah yang harmonis membantu peningkatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. Menjadi tanggungjawab seorang guru bagi memastikan keselesaan pembelajaran di dalam bilik darjah. Di samping itu, guru perlu bijak dalam menggunakan pendekatan- pendekatan bagi mengawal iklim dalam bilik darjah berlandaskan tahap perkembangan murid. Iklim dalam bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan kepatuhan dan keseronokan murid dan guru dalam bilik darjah tersebut semasa sesi pembelajaran dan pengajaran.
Dari aspek pengurusan iklim fizikal, guru hendaklah memastikan bilik darjah itu sentiasa bersih dan kerusi mejanya teratur. Selain itu, sudut-sudut pembelajaran hendaklah diwujudkan bagi merangsang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih dinamik. Di samping itu, penyusunan tempat duduk murid juga penting dalam pengurusan fizikal dan iklim bilik darjah. Bagi mewujudkan iklim sosial, guru hendaklah merancang pergerakan pelajar, tingkah laku pelajar di dalam kelas semasa guru mengajar, mewujudkan kumpulan perbincangan, bertanyakan soalan, berbudi bahasa, mengadakan prosedur dalam peminjaman dan pemulangan peralatan pembelajaran. Dari aspek pengurusan persekitaran, guru perlu mewujudkan iklim emosi pula, guru perlu memiliki kemahiran komunikasi dan kelucuan dengan budi bahasa bagi mewujudkan kemesraan dan empati serta mengendurkan perasaan takut dan suasana tegang di kalangan pelajar. Guru perlu memberikan ganjaran dan pujian kepada pelajar agar dapat memotivasikan pelajar.
Kemahiran yang pelbagai perlu ada dalam diri setiap guru bagi menjamin pengurusan bilik darjah yang efektif adalah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran komunikasi merupakan aspek penting dalam pengurusan bilik darjah. Oleh kerana pengurusan bilik darjah melibatkan manusia iaitu guru dan murid, komunikasi antara mereka sentiasa wujud. Proses sosialisasi tidak akan berlaku di dalam bilik darjah sekiranya tidak wujud komunikasi. Menurut Feeney (1983) mengatakan bahawa komunikasi merupakan satu proses untuk menyampaikan maklumat, mesej atau isyarat kepada pihak lain. Proses komunikasi dibina daripada pengalaman dan persefahaman antara kedua- dua belah pihak. Tindak balas atau reaksi yang lahir daripada proses komunikasi ini adalah berpunca daripada pengalaman dan persefahaman yang wujud antara mereka. Akhir sekali, guru perlu mempunyai kreativiti dalam memilih kaedah pengajaran supaya murid- murid tidak bosan serta mencapai objektif pengajaran.
3. RUMUSAN
Kesimpulannya, guru perlu memahami konsep dan strategi pengurusan bilik darjah bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran berjalan dengan lancar serta efektif. Memiliki ilmu pengetahuan amat penting bagi guru sebagai pendidik anak bangsa kerana bakal melahirkan peneraju Negara pada masa depan. Ilmu kreatif dalam pengurusan bilik darjah amat penting mewujudkan susasana pembelajaran yang selesa dan harmonis kepada murid.
4. RUJUKAN
No comments:
Post a Comment